Sunday, April 12, 2009

Airmata Gaza - Buat saudara ku di Palestin

1

Airmata ku mengalir lagi,
Sejak kesekian kali, sejak dari dulu lagi,
melihat dengan mata hati,
kaki-kaki mu berjalan tiada henti,
mengheret hati yang lara.

Airmata mu yang mengalir setiap detik tanpa henti,
bukan kerana anak mu mati di letup peluru yang turun seperti hujan besi,
tetapi kerana sudah tiada lagi rasa simpati dan kasih sayang,
di atas bumi yang telah di penuhi dengan darah,
merah menyala bagai api yang membara.


11

Mana rumah ku yang dulunya ada hilai tawa,
Anak kecil riang berlari menyanyikan lagu rindu,
Mana tanah ku yang dulu hijau meneduh pundak ku,
Mana bunga yang pernah ku ciumi harumnya,
Mana air dingin bisa ku teguk untuk hilang perit derita ku,

Bukankah telah engkau kuburkan semua itu,
Engkau rampas untuk tegakkan benteng batu yang panjang dan tinggi
hingga aku tak nampak lagi rupa mu yang asli
putih, hitam atau kelabu
semuanya telah jadi debu yang berterbangan mengaburkan pandangan ufuk ku.


111

Di sebalik mayat-mayat yang terkujur ini,
Aku sedang meniup hawa yang engkau sekarang pasti tidak rasa
panasnya membakar dingin malam mu,
Nanti engkau akan tahu bila airmata ku jadi batu
Memburu setiap saat hidup mu

Airmata ku ini ku tampung dalam lautan yang menggila
Membanjiri kota-kota mimpi mu, larut dalam kata-kata mu yang angkuh,
Hingga engkau tak mungkin bisa menghela udara
Pasir ini akan menembusi setiap salur darah mu bisa
Sehingga terpacakkan panji-panji cinta di jantung.

Sehingga airmata darah mu mengalir pula,
Sehingga kata-kata mu jadi nyanyi luka
Kaki mu tak bisa menginjak fikir ku,
Senyuman mu melutut di kaki ku dan airmata ku kering di kepala mu
Sehingga janji Allah tiba, tunggu tiba ku..


nukilan :
Rosmihayati Dato' Mohd. Khairuddin,
Bukit Katil, Melaka.
Malaysia.

Kembara Spiritual Turki

Sebelum bertolak ke Turki aku berdoa pada Illahi supaya perjalanan aku ke sana akan membuka mata hati ku kepada kebesaran Allah swt. menambah keimanan ku dan memberi kesedaran kepada ku betapa kerdilnya aku di sisi ciptaan Nya yang hebat seperti beberapa kehebatan yang aku lihat di Tuurki.

Aku bukan saja terpukau dengan keindahan Turki yang fizika.

Kebangkitan Islam di Turki memukau aku. Aku hanya kenal Kamal Attartuk yang terkenal dengan kefahaman Islamnya yang sekular. Walaupun aku tahu bahawa Turki sekarang ini di perintah oleh pemimpin yang cenderung kepada mengamalkan Islam, aku tidak sedar bahawa kebangkitan fahaman Islam yang fundamental mengikut ajaran Islam yang sebenar telah merebak ke seluruh lapisan rakyat Turki, muda dan tua.

Kami di perkenalkan kepada pemimpin Islam yang telah dibuang negeri dan sekarang menetap di Amerika iaitu Fethullah Gulen yang banyak mempengaruhi golongan pelajar, intelektual, ahli perniagaan dan orang-orang biasa di Turki. Sebelum ini aku tak pernah dengar namanya.

Kami di bawa melawat sekolah-sekolah rendah dan menengah bertaraf koporat dan berjaya melahirkan the top 100 best student di Turki. Rupa-rupanya penjajahan Turki ke seluruh dunia melalui sistem pendidikannya yang telah terbukti berkesan melahirkan pelajar cemerlang dan hebat serta serba boleh dalam semua bidang dapat dilihat apabila mereka berjaya menubuh lebih 800 buah sekolah di Turki dan di seluruh dunia. Bestnya sekolahnya tidak hanya untuk pelajar Islam tetapi terbuka untuk semua kaum.

Peralatan sekolahnya yang canggih, moden, trendy dan terkini semuanya dibina dengan derma penderma-penderma yang ikhlas, lebih baik daripada kebanyakan institusi pengajian tinggi di Malaysia sendiri. Seeing is believing. Sekolah seperti itu aku pernah lihat di England atau di Tokyo. Jika aku pelajar di situ aku pasti akan berbangga menjadi pelajar Islamnya. I thought I was in a five star hotel. Wahhhhhh.

Bukan itu saja. Guru-guru yang berdedikasi mengajar pelajarnya dengan penuh kasih sayang dan contoh yang baik dan mulia.

Sekolah Islam yang tidak seperti sekolah Islam kerana pelajar perempuannya tidak memakai tudung. Tudung di larang dipakai di sekolah-sekolah di Turki. Tetapi kerana pencapaiannya membentuk jiwa, minda dan akhlak pelajarnya juga akademiknya mendapat sambutan dari orang bukan Islam.

Mereka mempunyai akhbar mereka sendiri yang popular dan dipercayai kewartawanannya. Akhbar Zaman dan bangunannya yang canggih - sungguh berbeza dari bangunan akhbar kita. Akhbarnya juga menjadi rujukan semua di Turki.

Kami dibawa ke syarikat penerbitan yang menerbitkan buku-buku hasil tulisan Said Nursi Badiuzzaman, pejuang Islam yang banyak mempengaruhi pemikiran Fethullah Gulen. Aku membeli beberapa buah buku Said Nursi yang tidak ada di pasaran Malaysia.

Konsep kasih sayang yang diajar oleh Fethullah bukan sahaja terhadap orng Islam tetapi juga terhadap orang kafir. Beliau merupakan pemimpin gerakan Islam yang pertama menziarahi Pope dan menyatakan perlunya Islam dan komuniti Kristian saling bantu membantu untuk kesejahteraan manusia.

Menziarahi muzium tentera , istana kerajaan Othmaniah, masjid-masjid yang ada bertebaran di seluruh istanbul membuat aku rasa sungguh kecilnya aku dan negera ku Malaysia.

Aku berjalan dalam muzium istana , muzium tentera dan muzium arkiologinya sampai aku rasa nak tercabut kaki ku. Nasib kasut jenis yang selesa untuk berjaklan jauh. Kadang-kadang aku rasa nak sewa kereta roda suruh suami aku tolak. Terlalu besar dan terlalu banyak yang hendak di lihat.

Kehebatan tentera Othmaniah menakluki Istanbul, kehebatan ilmu dan teknologi yang digunakan untuk melawan empayar Roman, kekayaan mereka yang terbilang hingga mendapat penghurmatan dari semua pemimpin dunia waktu itu dan semuanya masih kekal hingga ke hari ini untuk di renungi dan di lihat sendiri, membuatkan sejarah negara Malaysia hanya penuh dengan penjajahan tiada pencapaian.

Kerana istana Melayu dahulu dibina dengan bahan kayu membuatnya mudah musnah dibanding dengan batubata yang kukuh yang berdiri tegak hingga kini. Aquaduct yang masih wujud menunjukkan jauhnya kepakaran mereka daripada kita.

Muzium tentera yang mempamerkan semua peralatan perang mereka sungguh canggih menyedarkan aku. Barulah aku faham mengapa mereka dapat menakluki kawasan yang luarbiasa besarnya.

Melalui Turki aku dapat merasakan bahawa empayar ini mungkin akan bangkit kembali menakluki dunia Barat dan Timur melalui semangat rakyatnya yang tidak mengambil mudah kerja dan tanggungjawab yang mereka pikul.

Kebanyakan mereka yang kami temui percaya mereka mesti melakukan segalanya dari perkara kecil dan kelihatan remeh temeh hingga ke perkara yang besar dengan penuh passion dan komitmen yang tinggi. Aku tidak nampak seorang peminta sedekah pun atau mereka yang melepak di jalan tanpa sebab.

Karpet yang cantik tenunannya, seramik yang halus seninya, sutera dan pakaian yang beraneka rupa tradisional dan moden, semuanya tidak di ambil ringan atau sikap sambil lewa.

Aku tidak lihat banyak restoran makanan segera di sana. Yang banyak ialah restoran milik orang-orang turki dari kebab, piza, makanan delights mereka.... semuanya aku suka.

Pengalaman kembara di Turki ini memang sungguh syahdu bagi ku. Aku terpesona dengan
segalanya di Turki. Aku sudah dijajah spiritually.

Help!!!! I am going back to Turkey again soon.....bila aku ada cukup duit nanti. InsyaAllah....

Friday, April 10, 2009

Kembara Fizika ke Turkey

Seorang sahabat ku, Zulfa menanya ku mengapa aku dah lama tak update blog ini. Jawab ku komputer ku di guna oleh anak ku dan mungkin di ambil terus olehnya untuk kuliah multimedianya, laptop suami ku yang selalunya aku pinjam digunakan oleh suami ku untuk kursus Ph D nya. Nak ke cybercafe terlalu jauh dan tak berapa banyak di Melaka yang aku boleh lepak. Pulang ke KL semua pc dan laptop anak2 ku busy di gunakan....aku selalunya menunggu kesempatan untuk menggunakannya. Tapi sebagai ibu, isteri yang sangat memahami keperluan orang lain maka kesempatan untuk menggunakan komputer mereka diabaikan...maka oleh kerana itu blog dan komunikasi syber ku terbantut sebentar.

Adakalanya email ku berlambak sehingga 400 mesej.

Di tambah pula dengan masaalah streamyx yang selalu terputus dan laptop yamg suka hang tak tentu pasal... tapi seronoknya bila tahu ada yang minat juga baca blog ni...Ini yang buat aku rasa nak sambung berceloteh seorang diri dan syok syok sendiri mula kembali!


Sebenarnya antara hujung Oktober 2008 hingga April 2009 ini banyak peristiwa yang menarik telah berlaku dan menjadi sejarah tapi akan aku catitkan satu persatu nanti.

Buat kali ini aku mingin berkongsi pengalaman ku bercuti ke Turki pada hujung tahun lalu.

Sebenarnya aku dan suami tak pernah bercuti ke luar negara. Kerana bajet yang sentiasa di kekang maka percutian kami hanya di dalam negara sahaja bersama anak-anak tercinta. Ke Langkawi, ke Lumut Perak ke Cameron Highlands dan balik kampung of course..

Bulan Mac tahun 2008 yakni tahun lepas, house mate suami ku ketika beliau belajar di Brighton UK dahulu yang bernama Prof Ehsan, seorang yang sangat pakar di dalam nuklear teknologi, malah pernah di offer untuk berkhidmat dengan NASA, telah datang menziarahi kami bersama isterinya Khadijah dan anak perempuannya yang bongsu.

Sungguh eratnya hubungan mereka hingga Prof Ehsan tidak dapat melupakan mereka sahabat se rumah dan selama 30 tahun tidak bertemu dan berjumpa beliau telah menceritakan semua hal tentang sahabat-sahabatnya ini kepada isterinya sehingga isteri mengenali the boys from Malaysia walaupun tidak pernah bertemu dengan mereka.

Ehsan mengajar isterinya beberapa perkataan Bahasa Melayu dan memaksa isterinya menghafal perkataan tersebut seperti Selamat pagi, Selamat Malam, Terima Kasih, Apa Khabar, Apa bising-bising, Jangan gaduh-gaduh, Makan banyak, tidur banyak belajar malas dan sabagainya....Dia menghafal semua perkataan dan nama-nama ini dan setiap hari Prof Ehsan akan bercerita mengenai mereka tanpa jemu-jemu sehingga isterinya seolah-olah sungguh mengenali mereka.

Bila mereka tiba di Malaysia pelukan dan salam serta airmata gembira kerana dapat bertemu setelah sekian lama terpisah dan setelah semuanya berusia dalam lingkungan lima puluhan membuatkan aku turut terasa hiba dan tidak dapat menahan airmata mengalir...sungguh syahdu sekali. Once a friend forever a friend walau pun terpisah lebih 30 tahun.

Kami merancang untuk membalas ziarahnya sambil mengembara melihat Turki yang tak pernah masuk dalam fikiran ku sebagai destinasi percutian. Aku menanya suami ku samada beliau mempunyai cukup ongkos untuk ke sana. Beliau mengatakan bahawa beliau tak pernah membawa aku ke mana-mana untuk bercuti so this is a good time and reason to go.

Well....I have been to Japan dahulu waktu belajar kerana memenangi pertandingan menuiis esei sewaktu di UTM dahulu, pernah ke Singapura, dan ke Jakarta. Juga ke England kerana mengikut suami ku melanjutkan pelajarannya ke sana tapi belum ke Turkey. Melihat Turkey melalui program Travel n Living di Astro rasanya sudah banyak yang aku tahu dan rasanya tak banyak pula yang ingin aku tahu lagi. So pergi sajelah.

Jauh perjalan luas pandangan dan bertambah kenalan. Harus banyak bersabar dan sentiasa ingat kepada Allah. Bahkan Allah sangat-sangat menganjurkan kita hambaNya mengembara ke seluruh pelusuk dunia supaya kita dapat melihat kebesaran Allah dan bertambah keimanan kita kepada Nya.

Di Bahrain kami break journey untuk semalaman sebelum menaiki kapalterbang lain ke Turkey.

Malam di Bahrain sungguh dingin seperti musim bunga di England. Anginnya lebih sejuk lagi.

Aku dan suami berjalan-jalan sekeliling kedai-kedai di sekitar hotel tempat kami menginap. Ramai sungguh orang-orang Bangla dan India yang merayau-rayau selepas kerja membeli belah dan juga berniaga kecil-kecilan di jalan-jalan kecil. Kami membeli buah pisang, apple, limau dan buah delima. Wah sungguh enak sekali. Tak pernh aku menikmati kemanisan buah delima seperti yang aku nikmati di Bahrain.

Esoknya kami menaiki pesawat menuju ke Istanbul. Aku berkenalan dengan keluarga ibu Widya yang sungguh anggun dan seksi, warga negara Indonesia yang suaminya bekerja di Abu Dhabi. Mereka ke Turkey buat kali kedua. Kali ini membawa ibu dan bapanya menziarahi Turki.

" Turki bagus sekali. Sekali pergi pasti mahu datang lagi. Percayalah! " katanya beria-ia sungguh. Aku hanya senyum sahaja... ok.

Kami di bawa menziarahi Turkey oleh seorang Warga Turkey yang diperkenalkan kepada kami oleh seorang teman. Namanya Ur Bey. Bey bermaksud Encik dalam bahasa Turki. Beliau telah berkahwin dengan seorang warga Malaysia, Azi seorang Muslim berbangsa Tamil, yang sama-sama menuntut Phd di UPM dahulu.

Ur Bey membawa kami menziarahi kota Istanbul, Angkara ibu negara Turkey, Konya dan Bursa.

D Istanbul kami melawat Masjid Sophia, Masjid Biru, masjid-masjid yang banyak dibina oleh kerajaan Otomanaih dan masjid yang dahulunya gereja di ubah suai menjadi masjid. Di mana-mana sahaja ada masjid. Yang kecil dan yang besar. Azan berkumandang bertalu-talu.

Masjid yang penuh dengan sejarah ini sungguh gah, tinggi dan besar dan sungguh penuh dengan sejarah dan sungguh cantik...tak pernah aku melihat masjid yang cantik seperti di Istanbul.

Memasukinya membuatkan aku rasa sungguh kecil dan kerdil sekali. Tamaddun dan empayar Othmaniah ini memang sungguh hebat sehingga melihat masjidnya sahaja sudah terasa kuat dan amat membanggakan. Walaupun aku bukan warga Turkey tetapi aku rasa bagai sebahgian dari tammaddun ini ada dalam diri ku.

Pembinaannya sungguh kukuh sehingga dapat bertahan ratusan tahun. Halusnya ukiran dan seni tangan hingga tiada satu pun corak yang membazir dan tanpa fungsi.

Teknologi pembinaannya sungguh tinggi sehingga tiada setanding dengan masjid-masjid baru yang ada di Malaysia. Letakan jubinnya, arch dan dome yang sayup melangit, batu-bata yang tepat ukurannya, susun atur ruangnya amat menakjubkan.

Seeing is believing and experiential. Melihatnya di kaca TV tidak sama dengan melihatnya dengan mataa kepala sendiri.

Berjalan di kota-kota lamanya membuat aku terasa seperti berada di zaman kegemilangan Islam ketika empayar Othmaniah ini berkuasa mengalahkan kerajaan Roman.

Siang hari melawat atau membeli-belah. malamnya pula dibawa menziarah rakan-rakan Ur Bey dan merasa masakan Turki yang enak-enak......atau di restoran yang terkenal dengan hidangan yang lazat.

Kambing bakar, ayam bakar, ikan bakar ,roti, roti, dan roti, susu masam (Airan), salad, salad dan salad. Pagi salad, petang salad, malam salad. Buah zaitun, kacang kuda dan pencecah, piza Turki, kebab....semuanya sedap belaka.....dan sup dalnya yang enak emmmmmmm!

Begitu juga di Konya dan Bursa. Kecuali di Angkara bandaraya ibu negara yang semuanya moden. Di situlah Prof Ehsan mengajar di Universitinya.

Air yang sungguh sejuk untuk berwudhuk dan menggigil ketika terpaksa membuka tudung untuk wuduk buat aku insaf dan rindu pada kehangatan Malaysia.

Antara yang tak dapat dilupakan ialah lembah rumah di dalam gunung. Gunung dipahat untuk dijadikan rumah kediasman berusia ribuan tahun. Lembah yang seluas 50 kilometer ini dipenuhi dengan bukit-bukit tajam seperti kon ais krim. Beribu-ribu sepanjang perjalanan kami ke Konya.

Dalam perjalanan ke Bursa dari konya kami senarnya sudah tidak tahan menunggu salji turun. Ramai di antara kami menaya Ur Bey, " Mana Salji? Mana salji?"

Allah mengabulkan permintaan kami. Salji turun selebat-lebatnya hingga kereta banyak yang tersadai di tepi-tepi jalan. Perjalanan malam itu menggerunkan dan mengecutkan hati kiami. Pemandu van yang membawa kami terpaksa memasang rantai besi pada tayar van sebagai kebiasaan amalan keselamatan mereka ketika salji turun lebat.

Walau pun pemandangan cukup cantik... pokok krismas yang keras dengan ais, bukit-bukit yang putih dengan salji tapi jalan raya licin dan mudah terbabas. 8 jam terhendala dalam perjalanan yang gelap gelita.

Masing-masing kami senyap tidak berkata apa kerana memikirkan apakah kami selamat sampai ke Bursa.Insaf dengan apa yang Allah ingin uji dan cuba. Kesabaran dan jangan meminta yang bukan-bukan tanpa memikir akibat darinya.

Yang tak kan dapat aku lupakan ialah suami ku hilang di Konya ketika kami berhenti mebeli-belah barang-barang istimewa Turki.

Semua orang sudah menunggunya di dalam van.

Aku berpisah dengannya kerana dia mahu berhenti minum syai' Turki yang pahit. bila sampai masa untuk bertolak dia tak menjelma.

Ketika itu aku rasa sungguh kecut perut. Dialah orang yang tahu selok belok jalan di mana pun dia pergi. Takkan sesat.

Mungkin kena heart attack. Nauzubillah.

Mungkin di bawa lari orang Turki.

Setelah semua pak cik lelaki pergi mencari dan tak berjumpa aku tambah susah hati. Rupa-rupanya dia pergi membeli rug Turki dan di bawa ke kedai yang jauh sedikit dari tempat kami berada untuk melihat pilihan yang lebih banyak. Dia kembali dengan senyuman yang menawan tanda bersalah.

Semua mengusik aku , " Ada orang tu dah merah mata oi!"

Alhamdullilah Allah masih mengizinkan kami bersama.

Keadaan begitu membuat aku menghargai perhubungan kami dengan lebih tulus lagi.

Lawatan kami tak sampai satu perlima dari seluruh Turki. Banyak yang tak sempat kami Ziarah. katanya jika hendak melawat semua Turki mestilah berada di sana selama dua atau tiga bulan....

Wah! Kampung Nabi Ibrahim dan tempat tersadainya kapal Nabi Nuh hanya dapat diziarahi pada waktu musim panas.

Aku pasti kembali lagi ke Turki jika diizin Allah. Wajah-wajah orang Turki yang jelita dan hensem, makanannya yang lazat dan tempatnya yang cantik tidak dapat aku lupakan.

Yang paling aku hargai ialah perhubungan antara mereka yang bersama-sama di dalam kembara ini.

Betullah sabda Rasullullah saw bahawa kamu hanya akan benar-benar mengenali saudara mu dengan sesungguhnya apabila kamu sudah menjalani 3 perkara bersama-sama iaitu makan bersama, tidur bersama dan bermusafir bersama.

Mungkin kami tidak tidur bersama tapi kami sudah makan dan bermusafir bersama. Itu sudah cukup mengeratkan perhubungan yang selama ini hanyalah di atas angin. Tidak real.