Monday, October 20, 2008

Salam Syawal dan Open Universiti Ramadhan....

Salam Syawal dari ku untuk yang berugama Islam. Walau sudah 3 minggu merayakan eidul fitri Ramadhan masih ku rindui. Sungguh terasa sangat cepatnya Ramadhan berlalu hingga aku tidak sedar ia sudah sampai ke penghujungnya dan kini sudah digantikan dengan Syawal. Puasa enam yang aku lakukan masih tidak sama dengan puasa di bulan Ramadhan yang mulia.

Ramadhan telah meninggalkan aku. Ramadhan yang di berkati dan bulan yang di khususkan Allah untuk manusia mengambil kesempatan berbuat sebanyak amal , sebanyak zikir dan ibadah untuk bekalan di akhirat dan untuk mendekatkan lagi hubungan dengan Allah. Ramadhan memberi kesempatan untuk membersihkan diri dari dosa-dosa lampau, membersihkan diri untuk diterima Allah sepenuhnya. Semua ibadah digandakan Allah pahalanya bagi menggalakkan umat Islam mengambil peluang ini untuk menambah amalan dan sebagai bonus dan mata ganjaran......Berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan dan sebagai latihan untuk di teruskan setahun lagi di dunia ini.

Sekolah Ramadhan...Kolej Ramadhan.....Open Universiti Ramadhan......apa pun yang ingin diberi nama untuk kursus khusus ini tidaklah sama dengan apa yang ingin diberi oleh Allah ketika di bulan Ramadhan. Banyak yang kita lalui. Lapar, dahaga, penat, letih, motivasi menunggu malam lailatul Qadar dan pencarian harta karun yang tidak ternilainya ini hanya akan berlaku di bulan Ramadhan. Seperti yang ditunjukkan oleh Rasullullah saw beribadat dengan penuh khusyuk dan penuh harap kepada Kholiqnya.....meratap apabila akhirnya bulan Ramadhan dan mengharap agar dapat bertemu dengan Ramadhan sekali lagi.

Keluarkah kita dari latihan ini sebagai hamba-hambaNya yang lebih tunduk dan patuh kepadaNya, senantiasa melakukan solat sepanjang masa, senantiasa melakukan puasa dan sentiasa bersedeqah kerana Dia sahaja.....?

Promosi yang Allah lakukan untuk menarik hambaNya melakukan ibadat hanya untukNya sungguh besar sekali....tetapi adakah kita hanya melihat ganjarannya sahaja. Tidakkah kita sedar bahawa apa yang Allah ingin kita lakukan hanyalah mengabdikan diri kita dengan ikhlas hanya keranaNya bukan ganjaran itu? Dia hanya ingin merapatkan kita kepadaNYa supaya kita sedar siapa diri kita sebenarnya. Hanya hamba yang kerdil, setitik debu di alam maya......tidak ....kita hanyalah titik halus yang tidak dapat dilihat dibandingkan dengan universe ini keseluruhannya.

Ya Allah .......aku lah hamba Mu yang hina. yang tidak mengenal erti kasih sayang Mu yang tidak terhingga. Aku hanya melihat kepada ganjaran yang aku akan dapat dari menunaikan ibadat kepada Mu. Aku tidak nampak Mu ya Allah.............Ya Allah ampunkan dosa ku yang tidak terhingga ini. Ya Allah terimalah ibadat ku, solat ku, puasa ku dan doa2 ku.......Engkau lah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang, Maha Pengasih lagi Maha Penerima Taubat....

Ya Allah temukanlah aku dengan Ramadhan Mu yang akan datang dengan jiwa ku penuh keinsafan dan tawadhu untuk mengadapkan wajah ku dengan harapan dapat bertemu dengan Mu. Ya Allah perkenankanlah...Ameen

Tuesday, September 23, 2008

Inna llillahi wa inna ilaihi raaji un....

Hari selasa 2hb September yang lepas Melaka cuti kerana menyambut Ramadan. Pagi hari itu aku telah merancang untuk bersantai di rumah dan tidak ke mana-mana.... membaca AlQuran dan kemudian bersiap pada sebelah petang memasak untuk berbuka puasa. Anak perempuan ku Fatimah Salwa akan pulang ke Johor Bharu menyambung kerjanya di sana pada bulan Ramadan ini dan kemudian kembali ke Bangi selepas Ramadan untuk menyambung kursus LHDN nya sehingga bulan Januari 2009.

Kita memang boleh merancang tetapi Allah ada perancangan Nya yang lain.

Pagi itu aku menerima sms dari sahabat lama ku Saadiah Mohammad dari Batu Pahat. Khabarnya sahabat kami Prof. Termizi dari UTM Skudai, Johor telah kembali ke rahmatullah.

Inna lillahi wa inna ilaihi raa ji un.......

Kami mengenali arwah ketika sama-sama menuntut di Universiti Teknologi Kebangsaan kemudiannya menjadi Universiti Teknologi Malaysia di Jalan Gurney, Kuala Lumpur. itu pada tahun 1973. Beliau menuntut di dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal bersama suami ku. Dan aku di dalam bidang Senibina.

Kami sama-sama terlibat di dalam kegiatan Persatuan Islam dan selalu mengadakan kursus dan latihan Islam untuk penunutut-penuntut Universiti dan sekolah-sekolah di sekitar Kuala Lumpur.

Orangnya sangat ramah dan sentiasa tersenyum. Sejak meninggalkan kolej kami tak lagi berjumpa. Setelah beliau mendirikan rumahtangga dengan senior ku bernama Maimunah, mereka telah berpindah ke Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor. Cuma sekali, anaknya yang sulung bernama Aiman yang sebaya dengan anak sulung ku Hannan dan pernah bersekolah di SRI Hira Kelang, pernah datang dan menumpang tidur di rumah ku di Subang Jaya. Aku menelefon Maimunah dan kami bercerita panjang tentang kisah lama di UTM dahulu.

Takdir Allah menemukan kami di R & R Seremban semula tiga bulan yang lalu. Dia bersama-sama keluarga, isteri dan beberapa orang anak-anaknya di dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur dari Johor Baru dan aku bersama suami ku juga dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Ketika itu wajahnya kelihatan cukup ceria kerana sungguh gembira berjumpa kami. Tiada tanda-tanda bahawa beliau sedang sakit atau tidak sihat. Cuma dia kelihatan sedikit kurus dan cengkung..... itu mungkin kerana beban kerja yang ketat di universiti. Di waktu yang singkat itu banyak perkara yang dibincangkan dan selepas itu kami berpisah.

Bila menerima sms dari Noni atau Saadiah isteri Prof Zainal dari Batu Pahat yang juga sama-sama sewaktu di UTM dahulu, aku terasa terkilan kerana belum sempat bertandang ke rumahnya dia telah pergi meninggalkan dunia yang fana ini.

Kami memutuskan untuk pergi juga menziarah arwah di Johor. Walaupun ketika hidup tak terlintas untuk ke sana kini bila beliau sudah tiada terasa ingin menunaikan tanggungjawab sebagai seorang sahabat menjenguk keluarganya yang sekarang kehilangannya.

Sepanjang perjalanan hujan tidak henti-henti turun bagai turut menangisi pemergian seorang hamba Allah yang kerdil.

Bila tiba di sana jenazah telah selamat dikebumikan. Kami berbual sebentar dengan Maimunah kemudian mengambil kesempatan menziarahi Along Mahayati dan suaminya Mohd Ghazali.

Mereka telah hadir di majlis perkahwinan puteri ku Hannan.....tetapi aku tidak berkesempatan untuk berbual panjang dengan mereka. Oleh kerana itu masih terasa seperti lama tidak berjumpa dengan mereka........ Sungguh gembira bila dapat menziarahi mereka.

Kami pernah bersama-sama dengan rakan-rakannya yang lain seperti Maimunah, Mahanum, Jamilah dan Zaiton, berada dalam satu majlis mempelajari dan menghayati Islam sewaktu mereka masih menuntut di Institiut Teknologi Mara dahulu. Setiap minggu bertemu di rumah ku. Membina perhubungan yang padu dengan nilai-nilai Islam yang utuh. Membina jambatan hati yang cukup kuat.....

Aku tidak akan lupa buat selama-lamanya pengorbanan mereka terutama membantu ku di dalam menubuh dan menjayakan Sekolah Rendah Islam Hira di No 16, Jalan Balau, Seksyen 3, Shah Alam dan kemudiannya di Batu Belah Kelang, Selangor.
Mereka antara guru-guru yang awal percaya dengan tujuan dan matlamat penubuhan sekolah itu di waktu ramai yang mencurigai dan membahaskan kepentingan penubuhannya. Kepercayaan yang tanpa ragu-ragu.

Mereka bertungkus lumus melakukan apa saja demi menjayakan satu cita-cita yang tak nampak lagi hujung pencapaiannya. Jiwa mereka sungguh bersih dan dalamnya keyakinan mereka hanya Allah sahaja yang tahu.

Mereka mempunyai potensi untuk bekerja dengan Kerajaan atau swasta sebagai pegawai yang berkedudukan tinggi tetapi mereka memilih untuk membantu menjayakan Hira sebuah sekolah yang kami asaskan untuk mendidik anak-anak mengikut sistem pendidikan Islam yang belum ada di Malaysia ketika itu dengan gaji yang sungguh tidak lumayan. Di tangan mereka ramai anak-anak yang terdidik dengan penuh kasih sayang.

Sekarang semuanya telah berkeluarga dan mempunyai anak-anak yang sedang meningkat dewasa tetapi kegiatan dakwah mereka masih berterusan.

Ya Allah Engkau murahkan rezeki mereka, bahagiakan hidup mereka di dunia dan di akhirat, terimalah amalan-amalan mereka. Ampuni dosa-dosa mereka, jauhi mereka dari siksa kubur dan api neraka dan tempatkanlah mereka bersama-sama dengan orang-orang yang Engkau kasihi dan redhoi....Amin

Aku masih ingat, ketika Along sudah berkahwin dan terpaksa mengikut suaminya ke Johor akulah orang yang menangisi pemergiannya..kerana aku tahu aku tidak mungkin akan memperolehi seorang sahabat sepertinya. Tetapi itulah kehendak Allah. Benih yang baik di campak ke laut akan tumbuh menjadi pulau. Walaupun di sana usahanya di dalam bidang pendidikan terus berjalan.

Dan walau kemana sahaja kita berada, walau terpisah jauh, kasih sayang tetap berada di dalam hati dan tidak akan hilang dari hati kerana ia adalah anugerah dari Allah swt.
Dia masih seperti Along yang ku kenal dahulu.

Oh.....Hidup ini sebentar sahaja. Aku sedar kesempatan yang ada untuk mengeratkan hubungan silaturahim tidak aku gunakan dengan sebaiknya. Di dalam kesibukan menguruskan kehidupan masing-masing tanggungjawab terhadap sahabat2 yang pernah bersama-sama bertungkus-lumus mengembangkan Islam di peringkat awal kesedaran Islam tercetus di tahun-tahun tujuh puluhan dahulu di abaikan. Sedangkan itulah awal permulaan bersama-sama mengenal kembali Islam.

Syawal yang akan datang nanti aku berazam untuk mencari mereka-mereka yang seperjuangan dahulu dan cuba menziarahi mereka semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab terhadap seorang sahabat. Menziarahi mereka, merapatkan hubungan dengan mereka dan mengingatkan tanggungjawab terhadap Allah sebelum kita dijemput Allah pulang kembali kepangkuanNya.

Semoga hajat ini di makbul Allah. Semuga di dalam usia yang sudah pertengahan abad ini antara kemanisan hidup yang boleh di banggakan ialah mempunyai sahabat yang benar-benar dikasihi, dikenali dan diziarahi sewaktu hidupnya.

Berusahalah menziarahi sahabat-sahabat kita hanya dengan niat untuk mencari keridhoan Allah semata-mata. Ikatan inilah sahaja sebenarnya yang akan menguat dan mengukuhkan masyarakat Islam seperti yang di lakukan oleh Rasullullah saw. Janganlah menunggu ketika sms memberitakan kepulangannya ke rahmatullah dan kita hanya sempat mengiringinya dengan doa sahaja serta kenangan lama bersamanya.....Semoga Allah sentiasa mengikat hati-hati kita di mana pun kita berada dan menemukan kita kembali di sana di sisi mereka yang di anugerahi Allah dengan keberkatan dan keridhoanNya.







Monday, September 15, 2008

Ramadhan Al Mubaraq

Hari ini sudah masuk hari ke 15 kita berpuasa.

Tahun ini aku berazam untuk lebih menghayati Ramadhan berbanding tahun-tahun yang lepas. Melebihkan ibadat ku, bacaan Al Quran ku, berzikir dan beramal ibadat kerana Allah dan berdoa supaya Allah menemukan aku dengan malam lailatul Qadr, mengampunkan dosa ku, dosa suami ku, dosa anak-anak ku, ibu-bapa ku dan dosa semua Muslimin dan Muslimat sekelain, menerima segala amal ibadah ku, memurahkan rezeki ku dan keluarga ku, menjayakan segala perniagaan ku betapa kecil pun perniagaan itu, memudahkan segala urusan ku di dunia dan meringankan anggota tubuh ku untuk melakukan ibadat kepada Nya. Juga memanjangkan umur ku untuk aku menambah amalan ku buat bekal ku di akhirat nanti. Tingkatkan semangat ku untuk terus melakukan dakwah dijalan Mu ya Allah......

Ya Allah... sihatkan lah tubuh badan ku untuk melaksanakan segala arahan mu, bersihkan hati ku untuk terus sampai kepada Mu, tenangkan jiwa ku untuk merapati Mu, jauhkan aku dari lupa dan hilang ingatan daripada membaca ayat-ayat Mu, kuatkan anggota tubuh ku untuk bangun bersolat dan ringankan hati ku untuk bertahajjud kepada Mu di malam hari bila badan amat seronok untuk tidur dan alpa terhadap Mu.

Ya Allah tuangkan Nur dan Hidayah Mu kepada anak-anak ku dan anak-anak seluruh kaum Muslimin untuk berada sentiasa di jalan Mu dan memperjuangkan Islam hingga ke akhir hayat mereka tanpa jemu....seronokkan mereka untuk beribadat kepada Mu sebagaimana seronoknya mereka berhadapan dengan komputer yang mengasyikkan mereka...jadikan mereka teman seperjuangan ku ...jauhkan mereka dari tipu daya syaitan dan bisikan iblis laknatullah...jadikan mereka tawadhu' dan bersihkan jiwa mereka dari kekotoran nafsu yang membinasakan. Jadikan mereka berilmu dan berakhlak mulia sebagaimana bagusnya akhlak Rasullullah saw. Jadikan mereka sebutan di dunia dengan sebutan dan panggilan yang baik..jauhi mereka dari siksa kubur dan siksa api nereka...limpahi kurnia mu dan redho Mu kepada mereka ya Allah......

Ya Allah kuatkan ikatan persaudaraan Islam....kuatkan ikatan kasih sayang sehingga tiada siapa pun dapat memutuskannya kecuali Engkau. Tingkatkan darjat kami di mata semua manusia di muka bumi ini...Bantu kami memahami dan mengamalkan ajaran Mu.....berilah kami kekuasaan terhadap kaum yang kafir dan jadikanlah kami pemimpin yang adil, bijaksana dan berhemah serta penuh kasih sayang dan penuh peri kemanusiaan...

Bukankah engkau telah memberi segala-galanya untuk kami..... Juga untuk bersama Ramadhan pada kali ini dan tahun-tahun yang akan datang.

Mohonlah apa sahaja kerana Allah pasti akan memaqbulkan segala hajat kita yang baik. Bukankah Allah mendengar segala rintihan dan pengaduan kita. Apatah lagi ketika di dalam bulan yang mulia ini.

Ramadhan ini setiap kali mengadap Mu ya Allah, aku merasakan perjalanan ku ini mengelilingi alam semesta Mu,.... bersama gugusan bintang-bintang Mu, melayari dan bertawaf menuju ke arah Mu dan betapa kerdilnya aku.....hanya setitik nokhtah dibandingkan dengan luasnya alam Mu......Jika aku bertemu dengan Mu temukanlah aku dalam keadaan yang Engkau dapat menerima ku sebagai hamba Mu yang dhoif yang penuh dengan kelemahan dan dosa-dosa yang hanya Engkau sahajalah yang dapat mengampunkannya..

Ampuni aku Ya Allah ...astaghfirullahal azim..terimalah aku ya Allah ...redhokan lah aku ya Allah............

Aku tak tahu samaada Allah mengizinkan aku untuk bersama Ramadhan pada tahun yang akan datang. Yang pasti aku ingin melakukan yang terbaik untuk kali ini.....untuk menghampiri dan mendekatkan diri ku kepada Rabbul alamin Tuhan Pencipta alam semesta yang Maha Agung lagi Maha Kaya..yang Berkuasa atas segala-galanya..

Sunday, September 14, 2008

Saudagar baru bernama Aji, Saudara baru bernama Angela...

Semalam aku ke rumah Datin Su di Kampung Baru Subang untuk membawa beberapa bekas kuih kapit yang telah ditempahnya minggu lepas. Kuih kapit ini ada tiga rasa. Perisa biasa, bijan dan habbatus sauda. Sambutannya amat menggalakkan. Aku jual sebahagiannya untuk tabung ibu-ibu tunggal yang aku kenal di Melaka dan Selangor sebagai sumbangan ikhlas untuk mereka.

Niat yang lain ialah untuk memberi peluang kepada siapa sahaja untuk menjana pendapatan kedua bagi membantu keluarga mereka. Bahkan anak jiran sebelah rumah ku, seorang penuntut tingkatan 4 di Sekolah Menengah berhampiran rumah ku di Taman Tasik Air Keroh Melaka, mendapat keuntungan yang cukup lumayan bagi seorang penuntut dengan hanya menjual kuih kapit ini di sekolahnya sahaja. Kemudian ia merebak kepada saudara maranya , kemudian kepada rakan-rakan dan kenalan saudara maranya pula.

Aku memanggilnya usahawan remaja dan bakal jutawan kuih kapit. Ibu dan ayahnya menggalakkannya kerana dia tak perlu keluar modal. Hanya menanya siapa yang nak kuih kapit dan menghebahkannya sahaja. Seminggu untungnya hanyalah RM 40 hingga RM 50 ringgit sahaja. Kecil bagi kita mungkin tapi besar bagi seorang remaja. Aku sentiasa beritahu dia....... "buat suka-suka saje...Untung masuk dalam bank.."

Dia telah menjadi seorang saudagar kuih kapit dan sungguh bangga dan seronok dengan perniagaannya yang semakin berkembang...

Beberapa orang lagi teman ku juga sudah mula merasa nikmat menjual tanpa modal yang besar...bukan kah 99% rezeki itu di dalam pereniaagaan kata Rasullullah saw.

Nabi muhammad adalah seorang peniaga yang amat gigih, jujur dan amanah. Yang menampung dakwahnya juga dari punca pendapatan seorang peniaga yang gigih seperti Khadijah isteri yang amat mengasihi, menghurmati dan membantu setiap keperluan kewangan mereka.

Kuih kapit ku juga telah sampai ke rumah Datin Su.

Di situ aku berjumpa dengan seorang saudara baru berbangsa Cina bernama Angela.... nama Islamnya Farizah dari Kelang, Selangor. Dia dibawa ke rumahnya kerana pada sebelah malamnya mereka akan beriftar di Hotel Singgahsana di Kuala Lumpur. Ada yang murah hati menaja program berbuka puasa untuk mereka.

Angela mempunyai seorang anak perempuan berumur 10 tahun yang sungguh comel. Belajar di Sekolah Cina di dalam darjah 5. Dia ingin mencari tempat untuk mula berniaga..kemahirannya di dalam bidang kecantikan..

Aku menyarankan agar Datin Su menelefon Puan Adibah di Pusat Zakat Selangor untuk mendapat sebarang khidmat nasihat dan peluang yang ada untuk membantunya memulakan perniagaannya bagi menyara hidupnya sekeluarga. Aku juga memberi no telefon Uztaz Daud Lin, guru Bahasa Arab ku untuk bantuan dari segi ilmu Islam.

Uztaz Daud Lin tinggal di Seksyen 19 Shah Alam dan diberi kepercayaan oleh Jabatan Agama Islam Selangor untuk mendidik mereka yang baru masuk Islam. Isterinya Salamah juga terlibat dalam program mendidik saudara baru ini.

Menerima Islam dan ingin menjadi seorang Muslim yang terbaik mestilah di usahakan bukan sahaja oleh mereka yang baru masuk Islam tapi oleh semua ahli masyarakat Islam yang mengenali mereka. Mereka perlukan sokongan dari semua untuk menjalani hidup baru yang berbeza dari cara hidup mereka yang lama. Cabarannya sungguh kuat bagi mereka dan masyarakat Islam.

Mungkin susah untuk menyakinkan mereka kepada Islam tetapi lebih susah ialah untuk mereka terus berada di dalam Islam sehingga ke akhir hayat mereka. Tanggungjawab kita ialah untuk memastikan mereka kekal terus di dalam Islam semampu yang kita boleh dengan izin Allah.

Mereka perlu bukan hanya wang ringgit dan material tetapi kasih sayang yang ikhlas, penghormatan kerana sanggup meninggal agama mereka yang lalu, motivasi yang kuat supaya tidak terasa sunyi terpisah dari kaum keluarga juga penglibatan di dalam masyarakat Islam supaya mereka merasakan nikmatnya masuk Islam yang berbeza dari agama mereka yang dulu.

Saya sungguh bangga dengan usaha Datin Su dan mereka-mereka yang seperti beliau yang melibatkan diri dalam usaha membantu saudara baru ini. Semuga Allah memberi kekuatan kepada beliau, Angela dan saudara baru yang lain dan kita semua di dalam memperkukuhkan ikatan persaudaraan Islam yang 'real' seperti yang di kehendaki dalam Islam..

Islam adalah agama untuk semua hamba Allah di bumi ini. Hanya Islam sahaja yang mampu menyatupadukan manusia tidak kira bangsa dan golongan apa pun kita di lahirkan....

Wednesday, September 10, 2008

Kehilangan Mu Di Rasai

Namanya Shiqi. Berbulu panjang dan berekor panjang. Ahmad Khalil, anak ku yang ketiga, bertandang ke rumah temannya sewaktu kami baru saja berpindah ke USJ 20 di Subang Jaya pada tahun 2000. Ibu temannya menyuruhnya membawa pulang si comel itu kerana terlalu banyak kucing di rumahnya. Khabarnya tuannya berpindah dan dia tertinggal. Atau di tinggalkan...tidak dapat dipastikan.

Siapa saja yang memandangnya pasti akan jatuh hati padanya. Ingin mengusapnya, mendukungnya dan membelainya. Selama membelanya dia tidak pernah mengiau seperti kucing lain...Seandainya lapar atau haus dia hanya akan menunggu di hadapan mangkoknya dengan sungguh sopan dan beradab sehingga makanannya diletakkan di dalam mangkoknya.

Dia hanya membuang air besar atau kecil di bilik air yang kering...... jika keluar berjalan-jalan di tanah tidak suka di tempat yang kotor.

Dia amat takut kepada bunyi hujan atau guruh apatah lagi petir. Setiap kali hujan turun dia akan merayap-rayap menyembunyikan diri di bawah sofa atau katil atau menyorok di bawah apa saje yang dekat dengannya.

Namanya Siti.......Siti Nurhaliza....tetapi singkatannya hanyalah Syiqi.....Jika di panggil namanya tidak pernah menyahut hanya melambai-lambaikan ekornya yang seperti ekor tupai.

Dia bukan kucing Parsi tetapi kecokan dan campuran yang aku juga tidak tahu namanya. Bagi ku itu tidak penting. Yang penting se isi rumah ku menyayanginya.

Dia amat penakut terutama orang yang tidak dikenalinya atau budak-budak kecil yang suka menjerit-jerit tanpa henti. jika anak saudara ku berkunjung ke rumah kami dia pasti tidak akan keluar dari tempat persembunyiannya sehingga semuanya sudah pulang.


Tidak pernah jatuh sakit. Tidak pandai menangkap tikus. Hobinya duduk melihat semut berjalan atau duduk di tingkap termenung memandang jauh entah ke mana....mungkin dia sunyi kerana sejak kecil dia telah di kasi oleh tuannya yang dulu. Tiada keluarga..atau..anak-anak yang boleh dibelai.

Seandainya ada kucing yang cuba memikatnya kucing itu akan mendapat tamparan hebat dari tangannya yang lebar...dikejar hingga keluar pagar rumah ku....tiada kucing yang berani mendekatinya walaupun cantik dan menawan.

8 tahun bersama kami. Dia di belai dan di manja. Dimandi, disyampu dan diberus bulunya.

Semenjak berpindah ke Melaka aku membawanya bersama-sama ke Melaka. Di hujung minggu bila pulang ke Kuala Lumpur dia ku tinggalkan dalam penjagaan jiran ku yang memberinya makan dan minum. Oleh kerana sibuk mengendalikan urusan perkahwinan puteri sulung ku aku kadang-kadang membawanya bersama ke Kuala Lumpur di bandar Saujana Putra di mana anak-anak ku tinggal.

Di situ dia mula mencuba berjalan-jalan keluar rumah dan kadang-kadang sampai sehari dua tidak pulang. Puas anak-anak ku mencarinya.. bila berjumpa dia sedang merayau-rayau mencari rumput. Tetapi dia tetap pulang.

Bila sudah selesai majlis perkahwinan puteri ku aku membawa kembali pulang ke Melaka. Dan bila hujung minggu aku pulang ke Kuala Lumpur atas urusan dakwah dia ku tuinggalkan lagi. Bila pulang dari Kuala Lumpur aku dapati dia sudah tidak ada di rumah.

Aku tidak pernah mengurungnya kerana tidak suka mengongkong hidupnya. Ramai jiran-jiran ku pernah mengingatkan aku bahawa kucing secantik Shiqi akan di ambil orang. Aku masih yakin bahawa segalanya ketetapan Illahi... jika dia diambil orang itu adalah ketetapanNya. Aku pasrah.

Tetapi bila 5 hari dia tidak pulang kesedihan mula mengusik jiwa ku.. di mulut aku mengucapkan alhamdullilah ternyata di hati aku masih merasa sedih. Terdengar dengar suaranya yang manja yang serak-serak basah hampir tidak keluar dari rongganya. Terasa ekornya yang panjang menyapu-nyapu muka ku kala dia berbaring di sisi ku...

Sehingga saat aku menulis ini dia masih tidak pulang.. Kadang-kadang terasa dia tidur di kaki ku atau menjilat hidung ku di setiap masuk waktu subuh. Lapan tahun bersamanya aku merasakan kehilangannya sekarang.

Kini aku benar-benar dapat merasai perasaan ibubapa Shalini yang kehilangannya dan masih belum dijumpai....atau perasaan Nabi Yaakub ketika Nabi Yusuf tidak pulang ke rumah sehingga airmata dan kesedihannya membuatkan ia menjadi buta. Kerana rindu yang amat sangat.

Kehilangan yang dikasihi atau yang disayangi merupakan ujian daripada Allah sejauh mana kita menerima hakikat bahawa semua di alam semesta ini bukan hak dan milik kita. Seandainya di sisi kita maka jagalah selagi ia masih bersama kita. Jika sudah tiada... hilang, di curi orang atau di ambil kembali oleh Allah kita harus redho se redho-redhonya.

Aku cuba untuk redho dan pasrah walau pun yang hilang hanyalah seekor kucing yang sudah tua.

Harapan ku masih positif bahawa dia akan kembali. Seperti kata suami ku..Dia pasti akan kembali insyaAllah.....untuk menenangkan hati ku yang sedih.

Semalam aku terbaca di internet bahawa seekor kucing di Britain yang hilang lapan tahun kembali kepada tuannya semula....mungkinkah itu akan terjadi kepada Shiki?

Dimana pun dia berada aku mendoakan agar sesiapa yang mengambilnya, akan menjaganya dengan penuh kasih sayang sebagaimana kami telah menjaganya dahulu......walau pun hanya seekor binatang namun dia memberi kegembiraan pada kami sekeluarga....Ia adalah nikmat sementara yang diberi oleh Allah kepada kami. Seandainya dia masih di taqdirkan milik kami aku berdoa agar Allah mengembalikannya kepada kami dalam keadaan yang sihat sama seperti dahulu........

8 tahun bersamanya, sekarang kehilangannya amat ku rasai........Shiqi.....dimanakah kamu.....

Monday, September 8, 2008

Majlis Perkahwinan Puteri Sulung Ku

Majlis Perkahwinan puteri sulung ku dilangsungkan pada hari Sabtu, 2hb. Ogos 2008 di Dewan Serbaguna, Precint 8, Putrajaya. Tarikh dipilih sebab angka 2 dan 8 amat hampir dengan 2008. Bukan kerana feng shui atau tilikan. Pilihan pertama untuk tarikh 20hb terpaksa di batalkan kerana dewan2 di Putrajaya telah habis di tempah.

Putrajaya merupakan pusat pentadbiran kerajaan yang sangat cantik. Tempat yang indah ini ingin dijadikan tempat bersejarah perkahwinan anak ku. Juga supaya saudara-mara yang datang dari kampung atau tak pernah berkesempatan untuk melihat keindahannya berpeluang untuk menziarahnya serta bergambar kenang-kenangan untuk memenuhi album keluarga.

Kenapa tak dibuat di Melaka? Ramai yang bertanya kerana aku dan suami tinggal di Melaka. Suami ku pensyarah di Universiti Teknikak Malaysia, Ayer Keroh, Melaka.

Empat orang anak-anak ku tinggal di Selangor semantara yang ke empat di Johor Baru. Kawan dan kenalan ku pula majoritinya tinggal di Selangor dan Kuala Lumpur. Begitu pula sanak saudara yang ramai menetap di Kuala Lupur dan Selangor dan Pahang lebih dekat ke Selangor dari ke Melaka....itulah antara sebab yang membuat kami memilih Putrajaya.


Niat ku sebenarnya untuk menghimpunkan semua saudara mara keluarga ku dan keluarga suami ku juga teman-teman aku dan suami ku. Aku jemput semua yang aku perolehi alamatnya walau pun ada saudaramara yang aku tidak kenali kerana tidak pernah ditemukan dengan mereka. Alhamdullilah niat itu dimakbul Allah. Teman-teman yang sudah 30 tahun tidak berjumpa pun datang memeriahkan majlis. Anak-anak ku kata ini sebenarnya majlis alumni bukan perkahwinan.....

Apa-apa pun aku sungguh gembira dah sangat terharu dengan kehadiran semua... walaupun ramai yang tidak dapat hadir bersama. Terima kasih kepada semua yang sudi meraikan majlis perkahwinan anak kami......

Begitulah perkahwinan... ikatan yang membawa dua keluarga yang besar menjadi satu keluarga melalui perkahwinan. ....inilah jodoh yang bukan kita yang menentukan. Ia adalah ketetapan dari yang Maha Esa. Tak perlu ditanya mengapa puteri ku jatuh hati kepada suaminya..tidak ada sebab kecuali Allah telah menetapkan begitu.

30 tahun yang lepas sewaktu aku berkahwin dengan suami ku, majlis perkahwinan ku dirancang tanpa campurtangan dari ku... Aku tak berhak untuk menentukan apa-apa pun.... dari pilihan baju hinggalah kepada menu dan tempat majlis kenduri...Aku rasa bagai hari itu bukan aku yang punya... semuanya terpaksa di ikut suka atau pun tidak.

Majlis puteri ku aku nekad untuk membuatnya berbeza. Setiap perancangan dari awal setahun yang lepas hingga ke hari perkahwinan semua dibincangkan bersama-sama dengan anak-anak ku...Ia adalah majlis keluarga dan semua terlibat di dalam perancangan dan penglibatan. Aku benar-benar merasa ikatan yang mantap antara ku dan anak-anak ku.... Saudara mara yang terdekat juga turut terlibat...ah manisnya bila kita melihat semuanya bertungkus lumus menjayakan majlis tersebut tanpa mengira penat lelah.

Warna tema perkahwinan ialah hijau lumut. Ada kompang. Ada silat. Ada majlis bersanding seperti yang dihajati keluarga dan puteri ku. Ada majlis makan beradab... ada lagu cinta dan nasyid syahdu....dan makanan yang dimasak denga hati yang ikhlas. Ada doa dari uztaz yang pernah mengajar anak ku dahulu....

Aku berdoa perkahwinan ini diredhoi Allah swt. Semoga kedua pasangan suami isteri ini diberi kekuatan oleh Allah untuk melalui liku-liku hidup sebagai suami isteri yang penuh dengan cubaan dan cabaran. Semoga mereka membina keluarga yang solehah berdasarkan kepada tuntutan Allah dan RasulNya dan semoga mereka bahagia, aman damai dan dijauhi dari bisikan dan godaan syaitan.

Sebagaimana kuatnya ikatan kasih sayang yang ditunjuk oleh ikatan perkahwinan Rasullulah saw dengan Khadijah dan isteri-isteri nya yanh lain begitulah aku harap untuk mereka.

Ketahui lah bahawa perkahwinan adalah tanggungjawab yang besar. Dia mesti di dayung dengan ilmu, iman dan ketaqwaan kepada Allah. Suami mempunyai haq dan tanggungjawab terhadap isteri begitu juga sebaliknya. Penuhi hidup mu dengan kasih sayang, saling hurmat menghurmati dan saling bantu mambantu untuk mencapai kejayaan.

Perkahwinan membuat kita mengenali satu sama lain dengan sebenar-benar perkenalan... bersabarlah menerima kelemahan dan ketidak sempurnaan satu sama lain. Belajarlah meredhoi pemberian Allah. Belajarlah memperbaiki diri sendiri untuk membahagiakan pasangan kita.

Sedikit pengorbanan pasti akan diganjari oleh Allah swt dengan rahmah dan rezekiNya yang melimpah ruah..... Selamatlah dalam membina sekolah pertama untuk generasi masa depan Islam....Ameen