Hari selasa 2hb September yang lepas Melaka cuti kerana menyambut Ramadan. Pagi hari itu aku telah merancang untuk bersantai di rumah dan tidak ke mana-mana.... membaca AlQuran dan kemudian bersiap pada sebelah petang memasak untuk berbuka puasa. Anak perempuan ku Fatimah Salwa akan pulang ke Johor Bharu menyambung kerjanya di sana pada bulan Ramadan ini dan kemudian kembali ke Bangi selepas Ramadan untuk menyambung kursus LHDN nya sehingga bulan Januari 2009.
Kita memang boleh merancang tetapi Allah ada perancangan Nya yang lain.
Pagi itu aku menerima sms dari sahabat lama ku Saadiah Mohammad dari Batu Pahat. Khabarnya sahabat kami Prof. Termizi dari UTM Skudai, Johor telah kembali ke rahmatullah.
Inna lillahi wa inna ilaihi raa ji un.......
Kami mengenali arwah ketika sama-sama menuntut di Universiti Teknologi Kebangsaan kemudiannya menjadi Universiti Teknologi Malaysia di Jalan Gurney, Kuala Lumpur. itu pada tahun 1973. Beliau menuntut di dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal bersama suami ku. Dan aku di dalam bidang Senibina.
Kami sama-sama terlibat di dalam kegiatan Persatuan Islam dan selalu mengadakan kursus dan latihan Islam untuk penunutut-penuntut Universiti dan sekolah-sekolah di sekitar Kuala Lumpur.
Orangnya sangat ramah dan sentiasa tersenyum. Sejak meninggalkan kolej kami tak lagi berjumpa. Setelah beliau mendirikan rumahtangga dengan senior ku bernama Maimunah, mereka telah berpindah ke Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor. Cuma sekali, anaknya yang sulung bernama Aiman yang sebaya dengan anak sulung ku Hannan dan pernah bersekolah di SRI Hira Kelang, pernah datang dan menumpang tidur di rumah ku di Subang Jaya. Aku menelefon Maimunah dan kami bercerita panjang tentang kisah lama di UTM dahulu.
Takdir Allah menemukan kami di R & R Seremban semula tiga bulan yang lalu. Dia bersama-sama keluarga, isteri dan beberapa orang anak-anaknya di dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur dari Johor Baru dan aku bersama suami ku juga dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.
Ketika itu wajahnya kelihatan cukup ceria kerana sungguh gembira berjumpa kami. Tiada tanda-tanda bahawa beliau sedang sakit atau tidak sihat. Cuma dia kelihatan sedikit kurus dan cengkung..... itu mungkin kerana beban kerja yang ketat di universiti. Di waktu yang singkat itu banyak perkara yang dibincangkan dan selepas itu kami berpisah.
Bila menerima sms dari Noni atau Saadiah isteri Prof Zainal dari Batu Pahat yang juga sama-sama sewaktu di UTM dahulu, aku terasa terkilan kerana belum sempat bertandang ke rumahnya dia telah pergi meninggalkan dunia yang fana ini.
Kami memutuskan untuk pergi juga menziarah arwah di Johor. Walaupun ketika hidup tak terlintas untuk ke sana kini bila beliau sudah tiada terasa ingin menunaikan tanggungjawab sebagai seorang sahabat menjenguk keluarganya yang sekarang kehilangannya.
Sepanjang perjalanan hujan tidak henti-henti turun bagai turut menangisi pemergian seorang hamba Allah yang kerdil.
Bila tiba di sana jenazah telah selamat dikebumikan. Kami berbual sebentar dengan Maimunah kemudian mengambil kesempatan menziarahi Along Mahayati dan suaminya Mohd Ghazali.
Mereka telah hadir di majlis perkahwinan puteri ku Hannan.....tetapi aku tidak berkesempatan untuk berbual panjang dengan mereka. Oleh kerana itu masih terasa seperti lama tidak berjumpa dengan mereka........ Sungguh gembira bila dapat menziarahi mereka.
Kami pernah bersama-sama dengan rakan-rakannya yang lain seperti Maimunah, Mahanum, Jamilah dan Zaiton, berada dalam satu majlis mempelajari dan menghayati Islam sewaktu mereka masih menuntut di Institiut Teknologi Mara dahulu. Setiap minggu bertemu di rumah ku. Membina perhubungan yang padu dengan nilai-nilai Islam yang utuh. Membina jambatan hati yang cukup kuat.....
Aku tidak akan lupa buat selama-lamanya pengorbanan mereka terutama membantu ku di dalam menubuh dan menjayakan Sekolah Rendah Islam Hira di No 16, Jalan Balau, Seksyen 3, Shah Alam dan kemudiannya di Batu Belah Kelang, Selangor. Mereka antara guru-guru yang awal percaya dengan tujuan dan matlamat penubuhan sekolah itu di waktu ramai yang mencurigai dan membahaskan kepentingan penubuhannya. Kepercayaan yang tanpa ragu-ragu.
Mereka bertungkus lumus melakukan apa saja demi menjayakan satu cita-cita yang tak nampak lagi hujung pencapaiannya. Jiwa mereka sungguh bersih dan dalamnya keyakinan mereka hanya Allah sahaja yang tahu.
Mereka mempunyai potensi untuk bekerja dengan Kerajaan atau swasta sebagai pegawai yang berkedudukan tinggi tetapi mereka memilih untuk membantu menjayakan Hira sebuah sekolah yang kami asaskan untuk mendidik anak-anak mengikut sistem pendidikan Islam yang belum ada di Malaysia ketika itu dengan gaji yang sungguh tidak lumayan. Di tangan mereka ramai anak-anak yang terdidik dengan penuh kasih sayang.
Sekarang semuanya telah berkeluarga dan mempunyai anak-anak yang sedang meningkat dewasa tetapi kegiatan dakwah mereka masih berterusan.
Ya Allah Engkau murahkan rezeki mereka, bahagiakan hidup mereka di dunia dan di akhirat, terimalah amalan-amalan mereka. Ampuni dosa-dosa mereka, jauhi mereka dari siksa kubur dan api neraka dan tempatkanlah mereka bersama-sama dengan orang-orang yang Engkau kasihi dan redhoi....Amin
Aku masih ingat, ketika Along sudah berkahwin dan terpaksa mengikut suaminya ke Johor akulah orang yang menangisi pemergiannya..kerana aku tahu aku tidak mungkin akan memperolehi seorang sahabat sepertinya. Tetapi itulah kehendak Allah. Benih yang baik di campak ke laut akan tumbuh menjadi pulau. Walaupun di sana usahanya di dalam bidang pendidikan terus berjalan.
Dan walau kemana sahaja kita berada, walau terpisah jauh, kasih sayang tetap berada di dalam hati dan tidak akan hilang dari hati kerana ia adalah anugerah dari Allah swt. Dia masih seperti Along yang ku kenal dahulu.
Oh.....Hidup ini sebentar sahaja. Aku sedar kesempatan yang ada untuk mengeratkan hubungan silaturahim tidak aku gunakan dengan sebaiknya. Di dalam kesibukan menguruskan kehidupan masing-masing tanggungjawab terhadap sahabat2 yang pernah bersama-sama bertungkus-lumus mengembangkan Islam di peringkat awal kesedaran Islam tercetus di tahun-tahun tujuh puluhan dahulu di abaikan. Sedangkan itulah awal permulaan bersama-sama mengenal kembali Islam.
Syawal yang akan datang nanti aku berazam untuk mencari mereka-mereka yang seperjuangan dahulu dan cuba menziarahi mereka semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab terhadap seorang sahabat. Menziarahi mereka, merapatkan hubungan dengan mereka dan mengingatkan tanggungjawab terhadap Allah sebelum kita dijemput Allah pulang kembali kepangkuanNya.
Semoga hajat ini di makbul Allah. Semuga di dalam usia yang sudah pertengahan abad ini antara kemanisan hidup yang boleh di banggakan ialah mempunyai sahabat yang benar-benar dikasihi, dikenali dan diziarahi sewaktu hidupnya.
Berusahalah menziarahi sahabat-sahabat kita hanya dengan niat untuk mencari keridhoan Allah semata-mata. Ikatan inilah sahaja sebenarnya yang akan menguat dan mengukuhkan masyarakat Islam seperti yang di lakukan oleh Rasullullah saw. Janganlah menunggu ketika sms memberitakan kepulangannya ke rahmatullah dan kita hanya sempat mengiringinya dengan doa sahaja serta kenangan lama bersamanya.....Semoga Allah sentiasa mengikat hati-hati kita di mana pun kita berada dan menemukan kita kembali di sana di sisi mereka yang di anugerahi Allah dengan keberkatan dan keridhoanNya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment