Wednesday, September 10, 2008

Kehilangan Mu Di Rasai

Namanya Shiqi. Berbulu panjang dan berekor panjang. Ahmad Khalil, anak ku yang ketiga, bertandang ke rumah temannya sewaktu kami baru saja berpindah ke USJ 20 di Subang Jaya pada tahun 2000. Ibu temannya menyuruhnya membawa pulang si comel itu kerana terlalu banyak kucing di rumahnya. Khabarnya tuannya berpindah dan dia tertinggal. Atau di tinggalkan...tidak dapat dipastikan.

Siapa saja yang memandangnya pasti akan jatuh hati padanya. Ingin mengusapnya, mendukungnya dan membelainya. Selama membelanya dia tidak pernah mengiau seperti kucing lain...Seandainya lapar atau haus dia hanya akan menunggu di hadapan mangkoknya dengan sungguh sopan dan beradab sehingga makanannya diletakkan di dalam mangkoknya.

Dia hanya membuang air besar atau kecil di bilik air yang kering...... jika keluar berjalan-jalan di tanah tidak suka di tempat yang kotor.

Dia amat takut kepada bunyi hujan atau guruh apatah lagi petir. Setiap kali hujan turun dia akan merayap-rayap menyembunyikan diri di bawah sofa atau katil atau menyorok di bawah apa saje yang dekat dengannya.

Namanya Siti.......Siti Nurhaliza....tetapi singkatannya hanyalah Syiqi.....Jika di panggil namanya tidak pernah menyahut hanya melambai-lambaikan ekornya yang seperti ekor tupai.

Dia bukan kucing Parsi tetapi kecokan dan campuran yang aku juga tidak tahu namanya. Bagi ku itu tidak penting. Yang penting se isi rumah ku menyayanginya.

Dia amat penakut terutama orang yang tidak dikenalinya atau budak-budak kecil yang suka menjerit-jerit tanpa henti. jika anak saudara ku berkunjung ke rumah kami dia pasti tidak akan keluar dari tempat persembunyiannya sehingga semuanya sudah pulang.


Tidak pernah jatuh sakit. Tidak pandai menangkap tikus. Hobinya duduk melihat semut berjalan atau duduk di tingkap termenung memandang jauh entah ke mana....mungkin dia sunyi kerana sejak kecil dia telah di kasi oleh tuannya yang dulu. Tiada keluarga..atau..anak-anak yang boleh dibelai.

Seandainya ada kucing yang cuba memikatnya kucing itu akan mendapat tamparan hebat dari tangannya yang lebar...dikejar hingga keluar pagar rumah ku....tiada kucing yang berani mendekatinya walaupun cantik dan menawan.

8 tahun bersama kami. Dia di belai dan di manja. Dimandi, disyampu dan diberus bulunya.

Semenjak berpindah ke Melaka aku membawanya bersama-sama ke Melaka. Di hujung minggu bila pulang ke Kuala Lumpur dia ku tinggalkan dalam penjagaan jiran ku yang memberinya makan dan minum. Oleh kerana sibuk mengendalikan urusan perkahwinan puteri sulung ku aku kadang-kadang membawanya bersama ke Kuala Lumpur di bandar Saujana Putra di mana anak-anak ku tinggal.

Di situ dia mula mencuba berjalan-jalan keluar rumah dan kadang-kadang sampai sehari dua tidak pulang. Puas anak-anak ku mencarinya.. bila berjumpa dia sedang merayau-rayau mencari rumput. Tetapi dia tetap pulang.

Bila sudah selesai majlis perkahwinan puteri ku aku membawa kembali pulang ke Melaka. Dan bila hujung minggu aku pulang ke Kuala Lumpur atas urusan dakwah dia ku tuinggalkan lagi. Bila pulang dari Kuala Lumpur aku dapati dia sudah tidak ada di rumah.

Aku tidak pernah mengurungnya kerana tidak suka mengongkong hidupnya. Ramai jiran-jiran ku pernah mengingatkan aku bahawa kucing secantik Shiqi akan di ambil orang. Aku masih yakin bahawa segalanya ketetapan Illahi... jika dia diambil orang itu adalah ketetapanNya. Aku pasrah.

Tetapi bila 5 hari dia tidak pulang kesedihan mula mengusik jiwa ku.. di mulut aku mengucapkan alhamdullilah ternyata di hati aku masih merasa sedih. Terdengar dengar suaranya yang manja yang serak-serak basah hampir tidak keluar dari rongganya. Terasa ekornya yang panjang menyapu-nyapu muka ku kala dia berbaring di sisi ku...

Sehingga saat aku menulis ini dia masih tidak pulang.. Kadang-kadang terasa dia tidur di kaki ku atau menjilat hidung ku di setiap masuk waktu subuh. Lapan tahun bersamanya aku merasakan kehilangannya sekarang.

Kini aku benar-benar dapat merasai perasaan ibubapa Shalini yang kehilangannya dan masih belum dijumpai....atau perasaan Nabi Yaakub ketika Nabi Yusuf tidak pulang ke rumah sehingga airmata dan kesedihannya membuatkan ia menjadi buta. Kerana rindu yang amat sangat.

Kehilangan yang dikasihi atau yang disayangi merupakan ujian daripada Allah sejauh mana kita menerima hakikat bahawa semua di alam semesta ini bukan hak dan milik kita. Seandainya di sisi kita maka jagalah selagi ia masih bersama kita. Jika sudah tiada... hilang, di curi orang atau di ambil kembali oleh Allah kita harus redho se redho-redhonya.

Aku cuba untuk redho dan pasrah walau pun yang hilang hanyalah seekor kucing yang sudah tua.

Harapan ku masih positif bahawa dia akan kembali. Seperti kata suami ku..Dia pasti akan kembali insyaAllah.....untuk menenangkan hati ku yang sedih.

Semalam aku terbaca di internet bahawa seekor kucing di Britain yang hilang lapan tahun kembali kepada tuannya semula....mungkinkah itu akan terjadi kepada Shiki?

Dimana pun dia berada aku mendoakan agar sesiapa yang mengambilnya, akan menjaganya dengan penuh kasih sayang sebagaimana kami telah menjaganya dahulu......walau pun hanya seekor binatang namun dia memberi kegembiraan pada kami sekeluarga....Ia adalah nikmat sementara yang diberi oleh Allah kepada kami. Seandainya dia masih di taqdirkan milik kami aku berdoa agar Allah mengembalikannya kepada kami dalam keadaan yang sihat sama seperti dahulu........

8 tahun bersamanya, sekarang kehilangannya amat ku rasai........Shiqi.....dimanakah kamu.....

No comments: