Sunday, September 14, 2008

Saudagar baru bernama Aji, Saudara baru bernama Angela...

Semalam aku ke rumah Datin Su di Kampung Baru Subang untuk membawa beberapa bekas kuih kapit yang telah ditempahnya minggu lepas. Kuih kapit ini ada tiga rasa. Perisa biasa, bijan dan habbatus sauda. Sambutannya amat menggalakkan. Aku jual sebahagiannya untuk tabung ibu-ibu tunggal yang aku kenal di Melaka dan Selangor sebagai sumbangan ikhlas untuk mereka.

Niat yang lain ialah untuk memberi peluang kepada siapa sahaja untuk menjana pendapatan kedua bagi membantu keluarga mereka. Bahkan anak jiran sebelah rumah ku, seorang penuntut tingkatan 4 di Sekolah Menengah berhampiran rumah ku di Taman Tasik Air Keroh Melaka, mendapat keuntungan yang cukup lumayan bagi seorang penuntut dengan hanya menjual kuih kapit ini di sekolahnya sahaja. Kemudian ia merebak kepada saudara maranya , kemudian kepada rakan-rakan dan kenalan saudara maranya pula.

Aku memanggilnya usahawan remaja dan bakal jutawan kuih kapit. Ibu dan ayahnya menggalakkannya kerana dia tak perlu keluar modal. Hanya menanya siapa yang nak kuih kapit dan menghebahkannya sahaja. Seminggu untungnya hanyalah RM 40 hingga RM 50 ringgit sahaja. Kecil bagi kita mungkin tapi besar bagi seorang remaja. Aku sentiasa beritahu dia....... "buat suka-suka saje...Untung masuk dalam bank.."

Dia telah menjadi seorang saudagar kuih kapit dan sungguh bangga dan seronok dengan perniagaannya yang semakin berkembang...

Beberapa orang lagi teman ku juga sudah mula merasa nikmat menjual tanpa modal yang besar...bukan kah 99% rezeki itu di dalam pereniaagaan kata Rasullullah saw.

Nabi muhammad adalah seorang peniaga yang amat gigih, jujur dan amanah. Yang menampung dakwahnya juga dari punca pendapatan seorang peniaga yang gigih seperti Khadijah isteri yang amat mengasihi, menghurmati dan membantu setiap keperluan kewangan mereka.

Kuih kapit ku juga telah sampai ke rumah Datin Su.

Di situ aku berjumpa dengan seorang saudara baru berbangsa Cina bernama Angela.... nama Islamnya Farizah dari Kelang, Selangor. Dia dibawa ke rumahnya kerana pada sebelah malamnya mereka akan beriftar di Hotel Singgahsana di Kuala Lumpur. Ada yang murah hati menaja program berbuka puasa untuk mereka.

Angela mempunyai seorang anak perempuan berumur 10 tahun yang sungguh comel. Belajar di Sekolah Cina di dalam darjah 5. Dia ingin mencari tempat untuk mula berniaga..kemahirannya di dalam bidang kecantikan..

Aku menyarankan agar Datin Su menelefon Puan Adibah di Pusat Zakat Selangor untuk mendapat sebarang khidmat nasihat dan peluang yang ada untuk membantunya memulakan perniagaannya bagi menyara hidupnya sekeluarga. Aku juga memberi no telefon Uztaz Daud Lin, guru Bahasa Arab ku untuk bantuan dari segi ilmu Islam.

Uztaz Daud Lin tinggal di Seksyen 19 Shah Alam dan diberi kepercayaan oleh Jabatan Agama Islam Selangor untuk mendidik mereka yang baru masuk Islam. Isterinya Salamah juga terlibat dalam program mendidik saudara baru ini.

Menerima Islam dan ingin menjadi seorang Muslim yang terbaik mestilah di usahakan bukan sahaja oleh mereka yang baru masuk Islam tapi oleh semua ahli masyarakat Islam yang mengenali mereka. Mereka perlukan sokongan dari semua untuk menjalani hidup baru yang berbeza dari cara hidup mereka yang lama. Cabarannya sungguh kuat bagi mereka dan masyarakat Islam.

Mungkin susah untuk menyakinkan mereka kepada Islam tetapi lebih susah ialah untuk mereka terus berada di dalam Islam sehingga ke akhir hayat mereka. Tanggungjawab kita ialah untuk memastikan mereka kekal terus di dalam Islam semampu yang kita boleh dengan izin Allah.

Mereka perlu bukan hanya wang ringgit dan material tetapi kasih sayang yang ikhlas, penghormatan kerana sanggup meninggal agama mereka yang lalu, motivasi yang kuat supaya tidak terasa sunyi terpisah dari kaum keluarga juga penglibatan di dalam masyarakat Islam supaya mereka merasakan nikmatnya masuk Islam yang berbeza dari agama mereka yang dulu.

Saya sungguh bangga dengan usaha Datin Su dan mereka-mereka yang seperti beliau yang melibatkan diri dalam usaha membantu saudara baru ini. Semuga Allah memberi kekuatan kepada beliau, Angela dan saudara baru yang lain dan kita semua di dalam memperkukuhkan ikatan persaudaraan Islam yang 'real' seperti yang di kehendaki dalam Islam..

Islam adalah agama untuk semua hamba Allah di bumi ini. Hanya Islam sahaja yang mampu menyatupadukan manusia tidak kira bangsa dan golongan apa pun kita di lahirkan....

No comments: