Aku mengambil masa yang sungguh panjang untuk menulis tentang kebakaran yang terjadi pada rumah ayahnda ku yang ku cintai. Kerana kesedihan bukan terhadap apa yang sudah hilang....tetapi kerana di situlah aku di besar dan dididik sehingga aku dewasa dan memahami erti kehidupan. Syukur kepada Allah swt kerana tiada nyawa yang hilang. Ayahnda berada di bandar lain bersama bonda dan adinda ku...hanya mengetahui tentang kebakaran daripada seluruh warga bandar Jerantut yang mengenalinya.
Allah lebih mengetahui kenapa ia harus terjadi. Semua yang menjadi kenangan sejarah baginya selama 50 tahun lebih berjuang memerdekakan Tanah Melayu sehingga mendapat gelaran Wira Negara tahun lepas, kini menjadi debu dan tinggal dalam kenangan sahaja.
Pondok Damai yang mempunyai kisah-kisah seorang pejuang kemerdekaan, penuh dengan cerita suka duka,......ramai yang telah hidup dibawah bumbungnya pasti akan mengalirkan airmata.
Anak Cina yang lari dari rumah kerana ingin masuk Islam, janda yang ingin berkahwin tetapi dihalang keluarga, keluarga tujuh beranak yang datang dari Kedah di tengah malam buta ingin menumpang kerana tiada tempat berlindung, keluarga India yang menyerahkan diri mereka berkhidmat secara percuma di rumah ini, saudara mara yang tak pernah dikenali datang menumpang kasih dan banyak lagi cerita yang aneh di pondok ini...
Mungkin itulah yang dikehendaki oleh Allah. Supaya tidak ada riak, takabbur, rasa bangga dan tinggi diri tentang apa yang telah dicapainya. Supaya tidak menjadi penghalang dan benteng antara dia dan Khaliqnya apabila dia kembali kepadaNya kelak.
Tetapi untuk tinggal sehelai sepinggang sungguh memilukan. Alhamdullilah ramai yang menghulurkan bantuan wang, pakaian dan apa saja yang mereka mampu. Semuga Allah membalas segala budi baik mereka....
Ya Allah. Gembirakan lah kedua ibubapa ku. Tenangkan lah hidup mereka. Kurniailah kepada mereka rezeki yang melimpah ruah serta ampunilah segala dosa-dosa mereka. Dan terimalah segala amalan mereka. Engkaulah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Semoga Allah mengganti kehilangan dan kepiluan ini dengan yang lebih mulia di sisi Nya.Ameen
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment